Pengumuman

  • Sila ambil maklum bahawa Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membuka permohonan MyBrain 2.0 mulai 1 Ogos 2024 sehingga 21 Ogos 2024.

  • Perhatian kepada semua peminjam Tabung Pinjaman Pelajaran (TPP) / penerima tajaan Bahagian Biasiswa KPT, sila hubungi Seksyen Penguatkuasaan dan Kutipan Balik (SPKB), Bahagian Biasiswa di talian 03-8888 6787 atau e-mel kepada [email protected] untuk semakan status pinjaman terkini sebelum anda dibenarkan membuat permohonan penajaan baharu.

  • Pemohon yang memiliki kelayakan Sarjana Muda / Sarjana daripada luar negara, sila muat naik kelayakan akademik transkrip asal ke dalam sistem.

  • Sila pastikan semua dokumen (salinan kad pengenalan, salinan transkrip, surat tawaran universiti dan proposal) yang dimuat naik telah disahkan sebelum permohonan dihantar secara online.

  • PROGRAM MYBRAIN 2.0

    • Program MyBrain 2.0 ditawarkan kepada orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap dan pensyarah-pensyarah di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam negara.

    • Pemilihan bidang adalah terdiri daripada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta bidang Sains Sosial dan Sastera Ikhtisas.

    • Program ini merupakan salah satu inisiatif KPT untuk membangunkan modal insan dan pemerkasaan bakat yang berkemahiran tinggi dalam bidang penyelidikan sekali gus meningkatkan hasil penyelidikan yang berimpak tinggi bagi memenuhi kehendak masyarakat, komuniti dan negara. Penajaan ini juga bertujuan menyumbang kepada kesediaan kemajuan kerjaya dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan serta taraf hidup graduan. Selain itu, program MyBrain 2.0 merupakan satu cabang motivasi kepada IPTS dalam usaha menyediakan pensyarah-pensyarah berkompetensi dengan matlamat meningkatkan keupayaan IPTS secara keseluruhan.
    1. Syarat Umum
      1. Pemohon mestilah:
        1. Orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap; atau
        2. Pensyarah IPTS terpilih seperti di Lampiran A.

      2. Warganegara Malaysia yang berumur tidak lebih 35 tahun bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana atau 45 tahun bagi pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran pada tahun permohonan;
      3. Tidak menerima sebarang bentuk tajaan pendidikan / biasiswa daripada lain-lain penaja kecuali pinjaman pelajaran / elaun pembantu penyelidik siswazah / pembiayaan tambahan lain dengan syarat ia bukanlah BIASISWA;
      4. Sekiranya pelajar mempunyai sebarang ikatan kontrak dari mana-mana penaja semasa di peringkat pengajian yang sedang diikuti, pihak penaja bersedia melepaskan ikatan kontrak jika ditawarkan penajaan ini;
      5. Telah menerima surat tawaran penuh / tanpa syarat daripada IPT atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa di IPT terpilih seperti di Lampiran B;
      6. Bagi pelajar yang telah memulakan pengajian, baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 12 bulan bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran pada Semester 1, Sesi 2024/2025;
      7. Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah seperti di Lampiran C;
      8. Pemohon pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran perlu menyediakan kertas cadangan penyelidikan (research proposal) bagi tujuan rujukan dan semakan untuk kelulusan;
      9. Mempunyai kesihatan yang baik dan tidak menghidapi penyakit kronik seperti di Lampiran D; dan
      10. Pemohon dan ibu dan / atau bapa tidak disenarai hitam oleh Kerajaan atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh pihak Kerajaan.

    2. Syarat Khusus

    3. Ijazah Sarjana

      1. Pemohon tidak memiliki Ijazah Sarjana atau setaraf semasa memohon;
      2. Pemohon mestilah memenuhi syarat kelayakan minimum akademik seperti berikut:
        1. Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.00 / Kelas Dua Atas / setaraf pada pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda;
        2. Memperoleh sekurang-kurangnya PNGK minimum 3.30 bagi keputusan semester terkini sekiranya pemohon sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana mod Campuran (Kerja Kursus dan Tesis) dengan minimum baki tempoh pengajian yang ditetapkan;

      3. Kategori penajaan dibuka bagi mod pengajian secara Penyelidikan dan Campuran (Kerja Kursus dan Tesis).

      Ijazah Kedoktoran (PhD)

      1. Pemohon tidak memiliki Ijazah Kedoktoran atau setaraf semasa memohon;
      2. Pemohon mestilah memenuhi syarat kelayakan minimum akademik seperti berikut:
        1. Memperoleh PNGK minimum 3.30 / setaraf bagi mod pengajian kerja kursus atau Campuran (Kerja Kursus dan Tesis) pada pengajian Ijazah Sarjana; atau
        2. Lulus bagi mod pengajian secara penyelidikan peringkat Ijazah Sarjana; atau
        3. Telah menerima surat tawaran penuh / memulakan pengajian di IPT bagi laluan Fast Track PhD.

      3. Kategori penajaan hanya dibuka bagi mod pengajian secara Penyelidikan sahaja.
    • Program MyBrain 2.0 menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pemohon yang berjaya seperti berikut:
    1. Yuran Pengajian
      1. Yuran pengajian yang layak dibayar kepada pemohon yang berjaya adalah seperti berikut:
      2. Peringkat Pengajian Yuran Pengajian
        Ijazah Sarjana Kadar maksimum RM2,300.00 per semester / RM9,200.00 sepanjang pengajian
        Ijazah Kedoktoran (PhD) Kadar maksimum RM3,750.00 per semester / RM22,500.00 sepanjang pengajian

      3. Bayaran yang tidak ditanggung adalah seperti di Lampiran E;
      4. Pihak KPT akan membuat pembayaran yuran pengajian kepada pihak IPT tertakluk kepada kadar maksimum yang telah ditetapkan. Sekiranya jumlah yuran pengajian melebihi kadar maksimum, pelajar bertanggungjawab untuk menjelaskan baki yuran pengajian kepada pihak IPT; dan
      5. Bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian, tempoh pembiayaan bermula pada semester semasa dan pelajar tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan bayaran balik bagi yuran pengajian yang telah dibayar sebelum tempoh tajaan berkuat kuasa.

    2. Elaun Sara Hidup
      1. Elaun Sara Hidup (ESH) bulanan akan diberikan sepanjang tempoh penajaan; dan
      2. Laporan kemajuan pengajian/keputusan peperiksaan perlu dikemukakan bagi pembayaran ESH semester berikutnya.
    • Pelajar tajaan mestilah memenuhi terma dan syarat Program MyBrain 2.0 seperti berikut:

    1. Mematuhi semua peruntukan di dalam Perjanjian dan syarat-syarat tawaran Program MyBrain 2.0;
    2. Pelajar tajaan adalah terikat dengan peraturan-peraturan pengajian yang sedang berkuat kuasa sepanjang tempoh pengajian di IPT;
    3. Pembayaran akan dilaksanakan setelah pelajar mengemukakan semua dokumen sokongan dan dokumen asal perjanjian yang telah lengkap ditandatangani oleh pelajar dan saksi;
    4. KPT berhak menamatkan penajaan sekiranya pelajar gagal mendapat keputusan minimum memuaskan setiap semester atau gagal mengemukakan Laporan Kemajuan Pengajian kepada KPT; dan
    5. Sekiranya pelajar menerima elaun-elaun atau bayaran yang melebihi daripada jumlah sepatutnya, Kerajaan berhak pada bila-bila masa menuntut kembali elaun-elaun terlebih bayar tersebut.
    • Permohonan Program MyBrain 2.0 adalah melibatkan proses seperti berikut:

    1. Permohonan
    2. Hantar borang permohonan secara atas talian melalui Sistem Permohonan Program MyBrain 2.0 sebelum tarikh tamat iklan permohonan.

    3. Temu Duga & Ujian Psikometrik
    4. Pemohon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga dan ujian psikometrik secara atas talian.

    5. Penawaran
    6. Pemohon yang berjaya akan menerima surat tawaran penajaan Program MyBrain 2.0.

    PENGAKUAN
    Dengan ini saya mengesahkan bahawa saya telah membaca, memahami dan bersetuju terhadap terma dan syarat-syarat am Program MyBrain 2.0 seperti yang dinyatakan.